Seandainya Rasulullah SAW Menziarahi Kita
Saudara/i ku yang dikasihi dan dimuliakan,
Seandainya dikhabarkan kepada kamu bahawa esok seorang pemimpin besar akan berkunjung bertamu ke rumahmu, apakah yang akan kamu lakukan untuk menyambutnya?
Adakah kamu akan bersegera membersihkan rumahmu,menghiasinya, menyegarkan ruangannya dengan wangian yang termahal sebagai persembahan buat tetamu besar yang sangat teristimewa itu?
Ya….semua ini akan dilakukan, kerana lazimnya begitu. Semakin tinggi pangkat dan kedudukan tetamu itu maka semakin megah dan meriah pula sambutannya.
Maka saudara/i ku yang dikasihi,
Cuba bayangkan bagaimana sekiranya tetamu yang mulia itu adalah Nabi Muhammad SAW…Rasulullah SAW sendiri yang bakal berziarah ke rumahmu… bayangkan… dan cuba bayangkan bahawa sesungguhnya sebaik-baik manusia itu benar-benar akan menziarahimu.
Tetamu ini bukan hanya sekadar seorang menteri, bukan sekadar pemimpin bahkan di sepanjang sejarah sekalian manusia, baginda adalah sebaik-baik manusia yang pernah menginjakkan dua telapak kakinya di muka bumi ini.
Dengan kehadiran risalah ini kami ingin mengajak anda untuk merenung dan membayangkan bagaimana sikap kita jika diziarahi oleh sebaik-baik makhluk ini.
Saudara/i ku yang tercinta..
Seandainya sekarang Nabi SAW mengetuk pintu rumahmu, apa yang akan kamu lakukan untuk menyambutnya.…dapatkah kamu bersegera menghampiri pintu seraya membukanya lantas mengucapkan marhaban kepada nabimu diiringi dengan deraian air mata kebahagiaan yang berlinangan dari kedua mata mu…?
Dapatkah kamu dengan bersegera mempersilakan nabi memasuki rumahmu dengan untaian kata,”Allahuakbar! Rasulullah sekarang berada di rumahku… ini adalah suasana yang paling bahagia dalam hidupku…!”
Adakah semua ini akan dapat kamu lakukan…? Ataupun, kamu sebaliknya akan berkeluh kesah, risau, gementar pada saat kamu mendengar ketukan di pintu….Adakah kamu akan berlari-lari dengan cepat, masuk ke bilikmu dahulu untuk menyembunyikan gambar-gambar penyanyi atau artis-artis idolamu dan menggantikannya dengan ayat-ayat suci Al-Quran…?
Adakah kamu akan mencabut saluran isytirak ataupun membuang channels artis-artis lucah di televisyen mu…?
Adakah kamu akan membuka komputermu untuk membuang segala file-file yang tidak layak untuk dilihat…?
Adakah kamu akan menyambut nabi dalam keadaan rokok di tanganmu?
Adakah kamu akan lakukan kesemuanya ini?!
Bayangkan kamu akan berhadapan dengan baginda SAW, duduk bersama baginda SAW terpaku dengan keindahan kata-kata baginda SAW, serta tidak berpaling sedikit pun kedua matamu melihat seri wajahnya yang bercahaya. Lalu…cuba bayangkan bahawa nabi SAW akan tetap bersamamu sebulan penuh…adakah kamu akan berasa gembira atau sebaliknya merasa keluh-kesah…?
Adakah kamu dapat bersikap seperti para sahabat yang saling berlumba-lumba ingin bertamukan baginda nabi SAW ketika sampainya baginda di Madinah buat yang kali pertamanya…?
Atau kamu takut dan malu membayangkan apa yang akan terjadi di sepanjang sebulan ini…?
Adakah Rasulullah SAW akan merasa gembira melihat kamu yang meringan-ringankan solat atau meninggalkan solat berjemaah…?
Adakah baginda SAW akan mendapati kamu sentiasa membaca Al-Quran ?
Atau adakah komik-komik dan novel-novel cinta yang tidak berfaedah yang akan menjadi bacaanmu…?
Adakah baginda SAW akan mendapati kamu beramah mesra dengan ahli baitmu dengan muamalah yang terdidik dan mendidik atau baginda hanya akan mendengar suaramu yang tinggi dan menyaksikan tanganmu yang melampau dan lidahmu yang selalu memuntahkan kata-kata yang kotor dan keji…di hadapan Rasulullah SAW , sedangkan dahulu baginda pernah bersabda,
"Orang yang terbaik di antara kalian adalah orang yang paling baik perlakuanya terhadap keluarganya” (HR Ibnu Majah)
Itu seandainya nabi SAW berziarah ke rumahmu. Bagaimana pula jika nabi SAW menziarahi tempat kerjamu?
Apakah yang akan kita katakan jika Rasulullah SAW sendiri menyaksikan keremehanmu dalam bekerja…
Kita ingin katakan apa kepada baginda sedangkan baginda SAW sendiri pernah bersabda,
"Sesungguhnya Allah SWT mencintai seseorang di antara kamu apabila dia bekerja , dia akan menyempurnakan kerjanya dengan sebaiknya” (HR Thabrani)
Apa yang kita akan katakan pada baginda SAW , sedangkan baginda SAW menyaksikan rasuah (yang dinamakan sebagai penghargaan, hadiah) berjalan dengan mudahnya dalam menyelesaikan muamalah.
Apa yang akan kita katakan baginya sedangkan baginda bersabda, “Allah SWT melaknat perasuah , orang yang dirasuah dan perantaranya”
Apakah yang kita akan katakan kepada nabi SAW jika baginda melihat kecurangan berlaku dalam perniagaan jual beli, sedangkan baginda telah bersabda,
“ Barangsiapa yang menipu kami, maka dia bukan dari golongan kami”
Dan bagaimana pula jika sekiranya nabi SAW berjalan bersamamu di jalan-jalan yang selalu kamu lalui.
Adakah baginda SAW akan berasa senang sedangkan saban waktu baginda mendengar jutaan ungkapan-ungkapan kotor dan keji melumuri mulutmu?
Adakah kamu dapat menggambarkan betapa marahnya baginda apabila lidahmu dengan sewenang-wenangnya melemparkan tuduhan-tuduhan kepada orang-orang yang soleh? Sedangkan baginda SAW telah bersabda (jauhilah olehmu tujuh perkara) dan diantaranya disebutkan ( menuduh perempuan-perempuan yang baik berbuat zina).
Adakah RasulullahSAW akan merasa redha melihat wanita-wanita dan anak-anak perempuan berjalan di jalanan tanpa mengenakan hijab, bahkan menggunakan busana-busana yang mengundang fitnah Di kalangan pemuda?
Adakah Rasulullah SAW akan mengatakan bahawa wanita yang bertabarruj itu adalah dari ummatnya? Adakah baginda akan mengatakan bahawa begitulah Siti Khadijah, Siti ‘Aisyah dan juga Asma’ rha?
Adakah Rasulullah SAW akan berasa gembira menyaksikan masjid-masjid yang sunyi? Adakah baginda SAW akan merasa redha melihat arak dan disko bertebaran di negara-negara Islam?
Apakah yang akan kamu katakan kepada Rasulullah SAW sekiranya baginda bertanya tentang keadaan kaum muslimin sekarang?
Adakah kamu akan berdusta mengatakan bahawa kaum muslimin dalam keadaan baik, atau kamu mempunyai satu keberanian untuk mengkhabarkan kepada kekasihmu SAW bahawa keadaan kita sekarang ini sangat terhina?!
Al-Aqsa, tempat Isra’nya Rasulullah SAW telah dirampas oleh orang Yahudi, bahkan mereka mahu menghancurkanya!!
Kaum Muslimin dibunuh saban pagi dan petang di Iraq, Afghanistan, Chechya, Kashmir dan di setiap tempat !!
Apakah yang kita akan katakan padanya sedangkan baginda telah besabda, “Kehormatan darah seorang muslim sesungguhnya lebih besar nilainya disisi Allah daripada kehormatan Ka’bah”.
Sekiranya kamu menceritakan semua ini kepada Rasulullah SAW….
Bayangkanlah pertanyaan baginda kepada kamu,
“Apakah yang telah kamu lakukan untuk membantu saudara-saudaramu kaum muslimin? Adakah kamu tidak pernah mendengar sabdaku? Sesiapa yang tidak mengambil berat akan urusan kaum muslimin maka dia bukan dari golongan mereka.”
Kamu ada jawapan untuk soalan itu?!
Bagaimana pula sekiranya Rasulullah SAW menuntut separuh daripada hartamu untuk digunakan di jalan dakwah?
Adakah kamu akan bersegera memenuhinya sepertimana yang dilakukan oleh Umar Al-Khattab ra, ataupun kamu akan memberikan sahaja kesemua harta kamu sepertimana yang dilakukan oleh Abu Bakar As-Siddiq RA? Ataupun kamu masih teragak-agak, bakhil dan mencari alasan dengan keuzuran-keuzuran?
Saudaraku yang tercinta….
Bayangkanlah bagaimana kemarahan Rasulullah SAW tatkala baginda melihat negara-negara kita berhukum dengan hukum selain daripada yang disyaria’tkan oleh Allah SWT.
Bayangkan bahawa nabi SAW terdengar bahawa agama ini tempatnya kini hanya di dalam masjid sahaja. Adakah baginda akan redha dengan itu?
Sedangkan baginda adalah seorang pemimpin dan juga ketua Negara bagi daulah islam yang pertama.Adakah Rasulullah SAW akan berasa gembira dikala melihat kelemahan kaum muslimin yang lemah berdepan dengan kezaliman dan kerosakan sedangkan baginda pernah bersabda,
"Seafdhal-afdhal jihad adalah perkataan yang benar di hadapan pemimpin yang zalim”
……………………………………………………………………………………………………………………………
Saudaraku yang di kasihi,
Adakah kamu membaca tulisan ini hanya dengan kedua matamu ataupun kamu sertakan merasainya dengan hatimu?
Adakah kamu membacanya dengan penuh iktibar…adakah kamu telah memikirkan setiap kalimatnya dengan akal yang telah Allah SWT anugerahkan kepadamu?
Adakah kamu sekarang merasai bahawa sebenarnya kamu tidak bersedia untuk diziarahi dengan ziarah singkat nabi SAW ini?
Fikirkanlah serta tanya dirimu…
Adakah kekasih kita nabi SAW akan memanggil kita di hari kiamat,
“ummatku…ummatku”
Atau baginda akan berkata,
“merengganglah…merengganglah…menjauhlah…menjauhlah”
Saudaraku yang dikasihi…
Sekiranya Muhammad SAW tidak melihatmu, maka sesungguhnya Tuhan Muhammad SAW sentiasa melihatmu.
Dan sekiranya Rasulullah SAW telah wafat, maka sesungguhnya Allah SWT hidup tiada mati.
Maka bersegerelah bertaubat dan meminta keampunan dari Yang Maha Pengampun.
Dan ketahuilah bahawasanya Allah SWT membentangkan tanga-Nya di malam hari untuk mereka yang mahu bertaubat sampai ke siang harinya dan membentangkan tanga-Nya di siang hari bagi mereka yang mahu bertaubat sampai ke malam harinya.
Begitulah seterusnya sampai terbitnya matahari dari barat.
Dan ketahuilah olehmu bahawa cinta kepada Rasulullah SAW bukan hanya sekadar ucapan melainkan dengan amal perbuatan.
Mencintai Rasulullah adalah berpegang dengan syariat
Sembunyi atau terang tetap lekat terikat
Menghidupkan sunnahnya adalah cinta yang hakikat
Didalam hatimu, fikiran dan juga kalimat.
Terjemahan Oleh Ustaz Jalaluddin Hamdan graduan Al-Azhar As-Syarif daripada risalah INTAJ I’LAMI.