بسم الله الرحمن الرحيم
اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Al-Islam itu satu nizam, satu sistem hidup yang lengkap, yang syumul, yang merangkumi setiap realiti hidup. Jadi islam itu adalah negara dan tanahair ataupun pemerintahan dan ummah.
Dia adalah akhlak dan kekuatan serta rahmah dan keadilan, dia adalah kebudayaan dan undang-undang ataupun ilmu dan kehakiman, dia adalah mata benda dan harta ataupun usaha dan kekayaan, dia adalah jihad dan dakwah ataupun tentera dan fikrah sebagaimana dia sebagai aqidah dan ibadah.
Dalam dasar pertama dari RUKUN FAHAM oleh Al-Imam Asy-Syahid Hassan Al-Banna rahimahullah.
Penghayatan Islam sebagai satu nizam hidup menjadi kewajipan setiap peribadi muslim untuk diterjemahkan.
Untuk merealisasi cita-cita ini, terdapat beberapa cabaran kepada individu yang menjadi pendokong cita-cita tersebut.
Mesti menjadi contoh dan teladan yang baik. Bererti menunaikan segala rukun Islam, mengikuti Sunnah dan cara hidup Rasulullah s.a.w, menjauhi segala perkara yang syubahat atau yang samar-samar, menjauhi segala yang haram, sentiasa mengingati Allah dalam setiap perkara. Dalam rumahtangganya, ahlinya mestilah beriltizam dengan segala ajaran Islam serta menjaga adab-adabnya.
Ikhlas serta bertawakkal kepada Allah. Agar seruannya dapat menembusi dan menawan hati yang diseru. Bererti setiap pertuturan, bergerak dan berjalan, serta tingkah-lakunya tiada kepentingan lain semata untuk Islam.
Luas pembacaan, mengikuti segala peristiwa, pergolakan, perkembangan suasana dan semasa serta mengetahui aliran-aliran pemikiran semasa. Lantas mampu mengemukakan Islam dengan baik, terang, jelas, mudah difahami dan menarik agar dapat membaiki suasana ditengah gelombang kesesatan dan tidak sebaliknya.
Firman Allah;
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik". (surah An Nahl:125)
Berusaha memahami taraf, kedudukan, tingkatan akal dan pemikiran orang yang diseru.Tahu serta bersifat objektif agar tidak mensia-siakan.
Mulakan seruannya dengan menekan masaalah aqidah dan iman. Bermula beriman kepada Allah sehingga Islam itu adalah satu-satunya cara hidup yang lengkap dan sempurna. Jelaslah Aqidah Islamiah itu menjadi asas kepada pembentukan peribadi, keluarga, masyarakat dan negara.
Sebagaimana contoh yang telah ditunjuk oleh Rasulullah s.a.w. bagi menyelamatkan manusia daripada azab neraka. Baginda sentiasa bersabar diatas gangguan dan siksaan keatas baginda malah sentiasa berdoa, sabdanya:
“Wahai Tuhanku berilah hidayat kepada kaumku, kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui".
Ingatlah! Ini adalah amanah yang besar, bilangannya sedikit, laluannya penuh cubaan dan rintangan lantas sentiasalah bermunajat kepada Allah. Al-Imam Asy-Syahid Hassan Al-Banna pernah berkata;
Jadilah kamu dengan manusia itu seperti sepohon pokok buah-buahan, mereka melemparnya dengan batu dan dia (pokok) melemparkan kepada mereka dengan buahnya".